KOTA KINABALU: Pegawai Daerah di Sabah disaran memperkukuh kefahaman terhadap bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri (MAN) bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah sah, adil dan berintegriti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata peranan Pegawai Daerah sebagai hakim Mahkamah Anak Negeri Daerah (MAND) amat signifikan khususnya dalam mengendalikan kes berkaitan undang-undang adat serta kepentingan masyarakat setempat.
Beliau berkata, kefahaman yang jelas terhadap bidang kuasa MAN adalah keperluan asas bagi mengelakkan kesilapan prosedur yang boleh menjejaskan kesahihan sesuatu keputusan.
“Peranan ini menuntut pemahaman menyeluruh terhadap bidang kuasa, pematuhan prosedur serta keupayaan menjunjung prinsip keadilan dan integriti yang tinggi dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Kefahaman yang tepat amat penting bagi memastikan setiap keputusan kehakiman dibuat berlandaskan peruntukan undang-undang dan tidak terdedah kepada kecacatan prosedur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah Siri 1/2026, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Jamili Nais.
Menurut Arifin, bengkel berkenaan memberi pendedahan lebih jelas kepada Pegawai Daerah mengenai tanggungjawab serta had kuasa dalam mengendalikan kes di MAN, di samping meningkatkan kemahiran penulisan penghakiman yang jelas, tepat dan berstruktur.
“Penulisan penghakiman yang baik bukan sahaja mencerminkan kewibawaan institusi kehakiman, malah membantu pihak-pihak berkepentingan memahami asas dan rasional sesuatu keputusan seterusnya mengurangkan risiko aduan serta rayuan.
“Sebagai hakim MAN, Pegawai Daerah hendaklah sentiasa bertindak berlandaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan dan akauntabiliti supaya kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman itu terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, keperluan penyeragaman pengetahuan dan amalan kehakiman di seluruh daerah di Sabah bagi memastikan pendekatan yang lebih konsisten, adil dan berintegriti.
“Pegawai Daerah sebagai hakim MAN hendaklah sentiasa bertindak berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti demi kepentingan rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Bengkel anjuran Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) melalui Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) itu disertai 40 Pegawai Daerah dari seluruh Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Myrna Jimenez; Pengarah JHEANS, Nordin Lossin dan Timbalan Pengarah Dasar dan Operasi JHEANS, Noorfaridah Othman.



