PUTATAN: Sebanyak 14 buah rumah atas air musnah, manakala tiga lagi mengalami kerosakan dalam kebakaran di Kampung Dumpil dekat sini, awal pagi Khamis (22 Jan).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO).Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.59 pagi melalui talian balai, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi pada 7.04 pagi, kira-kira empat kilometer dari balai.
Kataya, Komander Operasi memaklumkan, kebakaran melibatkan 17 rumah jenis tidak kekal.
“Sebanyak 14 rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah 50 peratus, manakala dua buah rumah lagi masing-masing terbakar 10 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, operasi pemadaman dilaksanakan melibatkan sumber air daripada jentera water tanker bomba dan air terbuka (sungai).
“Kebakaran berjaya dikawal pada 8.04 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.51 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.
“Operasi disertai 22 anggota membabitkan BBP Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, dengan bantuan Sabah Electricity serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.



