Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah akan dibicarakan pada Jun depan.
Mahkamah menetapkan perbicaraan selama enam hari iaitu 15, 16, 18, 19, 29, dan 30 Jun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes bekas Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan bekas Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dibicarakan secara bersama (trial to be consolidated).
Dr Yusof, 69, didakwa menerima RM200,000 daripada seorang ahli Perniagaan Albert Tei pada 6 Mac tahun lalu di Rooftop Bar & Grill, Hotel Hilton, Kota Kinabalu. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan lesen Nusa Kini Sdn Bhd.
Andi, 44, pula didakwa menerima RM150,000 daripada Albert Tei pada 12 Mei tahun lalu di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen penerokaan Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memohon agar kes-kes tersebut digabungkan, dan tiada bantahan dikemukakan oleh peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa pihaknya kini mempunyai seramai 40 orang saksi untuk perbicaraan itu.
Peguam bagi kedua-dua tertuduh kemudian memohon lanjutan pelepasan sementara pasport anak guam mereka bagi tempoh enam bulan lagi.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan melanjutkan tempoh pelepasan pasport sehingga 30 Jun.
Dr Yusof dan Andi diwakili oleh Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M. Borhan, Shahlan Jufri dan Elhanan James, manakala Datin Jaharah Patimbangi turut hadir mewakili Andi.
Sementara itu, Tei yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua ahli politik berkenaan dijadualkan dibicarakan secara berasingan dari 20 hingga 24 April tahun ini.



