KAHERAH: Kerajaan Sabah mencatat sejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam hal ehwal kefatwaan dan pembangunan keilmuan Islam bersama Darul Ifta Mesir, sebuah institusi kefatwaan berwibawa yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Memorandum itu melibatkan kerjasama kepakaran serta latihan dalam bidang kefatwaan dan keilmuan Islam, dan ditandatangani Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Profesor Dr Nazir Mohamed Ayyad, di Pejabat Darul Ifta Mesir di sini, hari ini.
Mohd Arifin ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada Darul Ifta Mesir, khususnya Mufti Mesir, atas kesediaan merealisasikan visi dan misi pembangunan syiar ilmu serta kepakaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, usaha itu melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta pegawai Yayasan Sabah di Kaherah.
“Alhamdulillah, hasil usaha berterusan semua pihak akhirnya membuahkan kejayaan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Nazir berharap kerjasama berkenaan dapat menjadi wadah memperkukuh mahabbah dan ukhuwah Islamiah, di samping memperkasa bidang syariah, dakwah, penyelidikan dan keilmuan Islam melalui perkongsian kepakaran para ilmuwan Darul Ifta Mesir.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia ke Mesir serta Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.



