Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak yang dipanggil semula memberi keterangan bahawa beliau menerima dua nota kertas dan salah satunya bertulis “Bye” dan ”kesayangan” daripada Allahyarhamah Zara Qairina.
Menurut peguam Shahlan Jufri nota yang mengandungi perkataan tersebut diselitkan dalam buku teks saksi.
“Menurut saksi, nota (kertas kuning) yang diberikan oleh Zara tersebut adalah bertujuan untuk memberitahu saksi bahawa Zara pada ketika itu mahu pergi ke musolla terlebih dahulu.
“Saksi juga menyatakan bahawa memang kebiasaanya Zara selalu menulis nota atau surat kepadanya,” katanya dalam kenyataan bersama pasukan guaman ibu Zara.
Tedahulu Shahlan menjelaskan terdapat dua jenis nota yang pernah diterima oleh saksi iaitu nota kertas berwarna putih berjalur biru yang diselitkan dalam buku tafsir dan nota kertas berwarna kuning yang mengandungi tulisan seperti “Bye” dan ”kesayangan”.
Nota kertas berwarna putih mengandungi tulisan yang ditujukan kepada saksi untuk memohon maaf kepada saksi dan memohon untuk saksi berkawan semula dengan Zara.
“Saksi juga menyatakan bahawa terdapat satu lagi nota, tetapi nota itu telah hilang atau tersalah tempat,” katanya sambil menambah saksi yang dipanggil semula ini merupakan kawan rapat Zara.
Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili Pelajar A, juga menjelaskan bahawa saksi kanak-kanak yang dipanggil semula itu memberitahu beliau menerima dua nota tulisan tangan daripada Zara, salah satunya iaitu nota berwarna kuning telah diserahkan kepada guru.
“Nota itu bertulis: ‘(nama saksi) aku sayang kau (nama saksi), aku pergi dulu ni bay (nama saksi)’, ditandatangani ‘da kesayangan 15/7/2025’,” kata Joan.
Menurut Joan, semua nota ini telah ditanda sebagai bahan bukti mahkamah, termasuk nota yang ditulis Zara yang memohon maaf kepada saksi kerana dia bersikap cemburu terhadap saksi.
Prosiding inkues berlangsung secara tertutup di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James juga mewakili ibu Zara.
Peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan turut mewakili Pelajar A.
Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.


