HomeIsu tempatanDua vesel nelayan ditahan, empat warga asing disiasat

Dua vesel nelayan ditahan, empat warga asing disiasat

Read Time:1 Minute, 28 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim berjaya menahan dua vesel nelayan dalam dua operasi berasingan selepas didapati melakukan kesalahan di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, penahanan pertama dilakukan pada jam 10.40 pagi dalam operasi yang dilaksanakan dan berjaya mengesan sebuah vesel nelayan asing di perairan Malaysia.

Katanya, pemeriksaan ke atas vesel yang ditahan pada jarak 2.4 batu nautika selatan Tanjung Tinagat mendapati, dua lelaki warga Indonesia berusia 44 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki lesen pendaftaran bot.

“Hasil siasatan awal mendapati, vesel terbabit menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamism

Dalam kejadian berasingan, Ariffin berkataz sebuah vesel nelayan tempatan ditahan Kapal Maritim Malaysia KM BALUNG pada jam 11.30 pagi di kedudukan 2.8 batu nautika barat daya Batu Tinagat.

Beliau berkata, dua lelaki warga Indonesia di atas vesel berkenaan mengemukakan dokumen perjalanan yang meragukan, selain permit kerja yang telah tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal mengemukakan dokumen perjalanan asal, manakala kru memiliki permit kerja yang tidak sah,” katanya.

Menurutnya, semua mereka yang terbabit bersama vesel dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk hasil laut, dua buah vesel dan enjin dianggarkan berjumlah lebih RM121,000.

Ariffin menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya aktiviti perikanan haram di perairan Kawasan Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Beliau dalam pada itu menyeru orang ramai, supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS perkasa pendedahan awal STEM murid sekolah Di Membakut

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular