KOTA KINABALU: Kekurangan seorang pemain akibat layangan kad merah kepada Gary Steven Robbat dikenal pasti menjadi antara faktor yang menjejaskan rentak permainan Sabah FC pasukan pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Sabah tewas kepada Melaka FC secara agregat 2-5 selepas tewas dengan jaringan 0-3.
Pengendali sementara Sabah FC Alto Linus berkata, secara keseluruhan pasukan mempamerkan semangat juang yang baik terutama pada separuh masa pertama ketika aksi perlawanan masih seimbang dengan jumlah pemain yang sama.
“Pada separuh masa pertama, kita nampak momentum yang baik dan keseimbangan permainan.
“Pemain menunjukkan semangat yang tinggi, namun apabila kita kekurangan seorang pemain, ia memberi kesan besar kepada rentak permainan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan itu pada Khamis.
Alto turut menjelaskan bahawa pasukan bermula dengan baik dan berjaya menjaringkan gol awal, namun jaringan tersebut dibatalkan, sekali gus menjejaskan momentum pasukan.
“Pemain sudah bersedia dan cuba mendapatkan gol. Kita telah menjaringkan gol pada awal perlawanan tetapi dibatalkan, dan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada psikologi serta tempo permainan,” jelasnya.
Beliau mengakui situasi menjadi lebih mencabar selepas pemainnya, Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah yang memaksa pasukan beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan.
“Bukan mudah untuk bermain 90 minit dengan 10 pemain. Banyak perkara perlu diubah dari segi teknikal dan semua pemain perlu melakukan ‘double effort’,” katanya.
Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, beliau memuji usaha pasukan yang masih berusaha mengawal permainan dan mencipta peluang pada separuh masa kedua.
“Walaupun 10 orang, kita masih cuba untuk mendapatkan gol dan mengawal permainan. Tapi inilah bola sepak,” katanya.
Dalam pada itu, Alto berkata, fokus utama kini adalah bagi menghadapi saingan Piala Cabaran yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Piala Cabaran adalah platform terbaik untuk kita memperbaiki semua kelemahan dan bangkit semula,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



