HomeUtamaSabah alu-alukan Singapura buka konsulat di Kota Kinabalu

Sabah alu-alukan Singapura buka konsulat di Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Singapura membuka pejabat konsulatnya di Kota Kinabalu pada tahun ini, yang mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah dan republik itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembukaan konsulat berkenaan mempunyai kepentingan strategik merangkumi aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan, khususnya melibatkan Sabah dan Singapura.

Beliau yakin kehadiran konsulat Singapura di Sabah dapat memperluas kerjasama kedua-dua pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini. la merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri turut mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor-sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan lebih ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke negeri ini.

Sementara itu, Vanu Gopala Menon memaklumkan bahawa Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan Kerajaan Malaysia bulan lalu.

Pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik kelulusan rasmi Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Paginatan dilantik Pengerusi SCC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular