HomeUtamaPenegasan sempadan Malaysia-Indonesia tidak merugikan komuniti perbatasan – Andi

Penegasan sempadan Malaysia-Indonesia tidak merugikan komuniti perbatasan – Andi

Read Time:1 Minute, 47 Second

KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menegaskan bahawa proses penegasan sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik dan kawasan sekitarnya tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang merugikan komuniti perbatasan.

Andi berkata, kejelasan sempadan penting untuk pentadbiran teratur, melindungi hak penduduk, dan memupuk kerjasama pembangunan serta ekonomi rentas sempadan.

“Saya mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Nunukan berhubung kebimbangan terhadap kesan penegasan sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan Pulau Sebatik dan sekitarnya.

“Kebimbangan mengenai kesejahteraan komuniti perbatasan sememangnya wajar dan perlu dihormati. Isu penegasan sempadan ini bagaimanapun bukan keputusan sepihak dan bukan perubahan yang dibuat secara sewenang-wenangnya di lapangan, sebaliknya sebahagian daripada proses rasmi dua hala antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang telah melalui rundingan teknikal serta diplomatik sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa penetapan sempadan mengambil kira rujukan sejarah, peta lama serta perbezaan tafsiran yang wujud sejak era terdahulu.

Walaupun terdapat pandangan bahawa sempadan Pulau Sebatik telah lama jelas dari sudut sejarah, perbezaan tafsiran inilah yang mendorong keperluan rundingan bersama agar garis sempadan dapat ditentukan secara teratur, sah di sisi undang-undang dan diterima oleh kedua-dua negara.

“Dalam konteks ini, proses penegasan sempadan tidak wajar dilihat sebagai sesuatu yang secara langsung merugikan komuniti perbatasan. Kejelasan sempadan yang dipersetujui bersama merupakan asas penting untuk menjamin pentadbiran yang teratur, melindungi hak penduduk setempat serta membuka ruang kepada kerjasama pembangunan dan ekonomi rentas sempadan yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Andi berkata Malaysia kekal komited memastikan setiap proses berkaitan penegasan sempadan dilaksanakan dengan mengambil kira kestabilan serantau, kebajikan masyarakat di kawasan perbatasan serta hubungan baik antara dua negara serumpun.

Beliau menekankan isu ini wajar terus ditangani melalui saluran diplomatik, dialog antara kerajaan pusat dan mekanisme rasmi yang telah dipersetujui bersama, bukan melalui polemik awam yang berpotensi mengeruhkan hubungan dua hala.

“Hubungan Malaysia-Indonesia perlu terus dipandu oleh prinsip saling menghormati kedaulatan, kepercayaan bersama dan penyelesaian berasaskan fakta demi kepentingan jangka panjang rakyat di kedua-dua belah sempadan,” tambahnya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Hak 40% Sabah berisiko diiktiraf hanya ‘atas kertas’ – Roger Chin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular