HomeUtamaSejarah Sabah dicadang diketengah dalam silibus pendidikan Kebangsaan

Sejarah Sabah dicadang diketengah dalam silibus pendidikan Kebangsaan

Read Time:1 Minute, 43 Second

PUTRAJAYA: Sejarah Sabah dicadang untuk disusun dan diketengahkan secara lebih menyeluruh dalam silibus mata pelajaran Sejarah di peringkat kebangsaan bagi memastikan identiti serta latar belakang negeri itu diberi pengiktirafan sewajarnya dalam sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, penambahbaikan silibus Sejarah itu penting agar sejarah Sabah dapat dikoordinasikan dengan lebih teratur serta dipersembahkan secara komprehensif kepada generasi pelajar.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu memperkukuh kefahaman murid terhadap pembentukan Malaysia, malah membantu memupuk semangat perpaduan melalui penghargaan terhadap kepelbagaian sejarah dan budaya setiap negeri.

“Sejarah Sabah mempunyai peranan penting dalam landskap sejarah negara dan wajar diberi ruang yang lebih jelas serta tersusun dalam kandungan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kunjungan hormat rasmi ke atas Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

James berkata, perbincangan turut melibatkan keperluan penelitian semula kandungan silibus sedia ada supaya selari dengan konteks semasa, selain mengambil kira perspektif tempatan tanpa menjejaskan kerangka sejarah nasional.

Katanya, kunjungan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya dalam usaha memperkasa sistem pendidikan yang inklusif dan seimbang.

Menurutnya, usaha mengetengahkan sejarah Sabah dalam subjek Sejarah ini dilihat selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri kukuh serta pemahaman mendalam terhadap sejarah negara secara menyeluruh.

Dalam pada itu, James berkata, perancangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Botition akan diaktifkan semula selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju untuk mengemukakan projek berkenaan dalam Rolling Plan 3 (RP3) akan datang.

Katanya, pembinaan SMK Botition dilihat penting bagi menampung keperluan pendidikan menengah di kawasan berkenaan selain mengurangkan kesesakan di sekolah sedia ada, selaras dengan pertambahan jumlah pelajar dari semasa ke semasa.

“Langkah mengaktifkan semula perancangan projek tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dan seimbang, khususnya di kawasan yang memerlukan kemudahan sekolah baharu,” katanya.

Selain pembangunan sekolah baharu, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai isu lain berkaitan pendidikan di Sabah termasuk penyelenggaraan sekolah daif, pemerkasaan pentadbiran pendidikan serta usaha memperluas penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK roboh struktur bangunan tambahan tidak sah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular