KOTA KINABALU: Masalah jalan berlubang di sekitar Tuaran Bypass, Jalan Politeknik, Jalan KKIP serta kawasan sekitarnya terus membebankan pengguna jalan raya apabila keadaan jalan didapati semakin meruncing walaupun kerja-kerja pembaikan kerap dilaksanakan.
Seorang pensyarah kanan Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan Politeknik Kota Kinabalu, Anbukkarasu Paramasivam berkata kebanyakan pembaikan yang dilakukan setakat ini hanya bersifat sementara dan gagal bertahan dalam tempoh panjang, terutamanya apabila hujan turun.
Menurut beliau, tampalan yang dilakukan lazimnya hanya bertahan dalam tempoh singkat sebelum kembali rosak, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kualiti bahan serta kaedah pembaikan yang digunakan oleh kontraktor.
“Keadaan ini menunjukkan kegagalan mematuhi prosedur pembaikan yang betul dan akhirnya menyebabkan masalah yang sama berulang tanpa penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan yang diemailkan kepada Sabahmedia.
Beliau berkata situasi itu turut diburukkan apabila kerja-kerja menampal jalan sering dilaksanakan pada waktu puncak, khususnya di kawasan sekolah dan kawasan perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang serius.
Menurut Anbukkarasu, kewujudan jalan berlubang memaksa pengguna memperlahankan kenderaan, menukar lorong secara mengejut atau berhenti bagi mengelakkan kerosakan, sekali gus menjejaskan kelancaran trafik dan meningkatkan masa perjalanan harian.
“Keadaan ini memberi kesan langsung kepada ketepatan masa ke tempat kerja, sekolah serta urusan harian, terutamanya pada waktu puncak,” katanya.
Dari aspek keselamatan, beliau berkata jalan berlubang turut meningkatkan risiko kemalangan, khususnya kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil, terutama apabila lubang dipenuhi air hujan dan sukar dikesan.
Beliau menambah tindakan membrek secara mengejut dan pergerakan mengelak secara tiba-tiba turut meningkatkan risiko perlanggaran antara kenderaan.
Selain itu, katanya, masalah berkenaan turut memberi impak ekonomi kepada pengguna melalui peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan seperti kerosakan tayar dan sistem suspensi, selain pembaziran bahan api akibat masa perjalanan yang lebih panjang.
“Keadaan ini juga menyebabkan pengurangan lorong secara tidak rasmi apabila pengguna mengelakkan kawasan rosak, sekali gus mewujudkan ‘bottleneck’ dan kesesakan yang lebih teruk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penyelenggaraan jalan tidak seharusnya bersifat reaktif semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara sistematik dengan penggunaan bahan berkualiti serta perancangan trafik yang lebih berkesan.
“Isu ini bukan sekadar soal keselesaan, tetapi melibatkan keselamatan, ekonomi dan kualiti hidup masyarakat. Pendekatan menyeluruh dan mampan amat diperlukan bagi menyelesaikan masalah ini secara berkesan,” katanya.



