KAHERAH: Pelajar Sabah di Timur Tengah diharap menjadi duta pendidikan dengan membawa pulang ibrah dan ilmu pengetahuan yang diperoleh untuk berbakti kepada Negeri di Bawah Bayu.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata pembangunan sebenar Sabah bukan hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan besar sebaliknya menekankan pembangunan modal insan yang berteraskan pendidikan, nilai dan integriti.
“Pembangunan tanpa pencerahan akal budi adalah rapuh. Pendidikan mesti menjadi fokus utama bagi melahirkan generasi berilmu, bertamadun dan berintegriti,” katanya ketika berucap pada Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir, pada Ahad.
Tun Musa yang diiringi Isteri, Toh Puan Faridah Tussin berkata kerajaan negeri sejak 1997 menyediakan kemudahan penginapan pelajar Sabah di Mesir melalui pembelian Wisma Yayasan Sabah di Kaherah ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Sabah.
Manakala sebuah lagi bangunan asrama dibeli di Iskandariah pada 2010 ketika beliau menjadi Ketua Menteri bagi menampung keperluan pelajar.
“Saya sangat mengambil berat mengenai kebajikan pelajar Sabah di luar negara kerana pada ketika itu mereka tidak mempunyai asrama penginapan yang khusus,” katanya.
Beliau turut menyeru pelajar Sabah memanfaatkan pengalaman menuntut ilmu di Mesir, menghayati sejarah tamadun Islam serta mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) bagi memelihara perpaduan Sabah sebagai negeri berbilang kaum dan agama.
“Seorang sarjana sejati bukan sekadar menghafal ilmu, tetapi mampu menterjemahkannya untuk kemaslahatan rakyat. Binalah jaringan kerjasama dengan rakan antarabangsa dan manfaatkan peluang di sini untuk mencapai kejayaan,” tegasnya.
Pada majlis sama, Tun Musa menyempurnakan penyampaian Sumbangan Tunai Mahasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MISBAH).
Turut berlangsung penyampaian sumbangan kewangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Badan Kebajikan Penuntut Sabah di Mesir (BKPSM), Sumbangan Aktiviti Persatuan Mahasiswa Sabah (SEMESTA) kepada Majlis Mahasiswa Sabah Jordan (MMSJ) dan BKPSM selain sumbangan Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Kumpulan Yayasan Sabah bagi pembelian kelengkapan asrama di Kaherah.
Majlis yang dihadiri 350 pelajar itu turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri (MUIS) Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.



