HomeUtamaInkues Zara: Saksi kanak-kanak selesai beri keterangan

Inkues Zara: Saksi kanak-kanak selesai beri keterangan

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini selesai mendengar keterangan semua saksi kanak-kanak bagi membantu inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, Shahlan Jufri berkata semua saksi kanak-kanak telah selesai memberikan keterangan dan setakat ini tiada lagi saksi kanak-kanak yang akan dipanggil semula.

“Kami akan meneruskan prosiding inkues ini dengan saksi dewasa pada Jumaat.

“Minggu hadapan, kami menjangkakan untuk memanggil beberapa lagi saksi dan dijangkakan kami akan membuat lawatan semula ke lokasi kejadian (locus in quo), namun tarikhnya akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam sidang media.

Seramai 38 saksi kanak-kanak telah dipanggil memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sejak inkues bermula pada 3 September 2025.

Turut mewakili ibu Zara ialah peguam Rizwandean Bukhari M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Peguam bagi bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Peguam bagi saksi kanak-kanak pertama ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi saksi kanak-kanak kedua hingga keempat ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Pada 20 Ogos 2025, lima individu bawah umur yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E telah didakwa atas pertuduhan Zara, dan kes tersebut kini masih berjalan di Mahkamah Kanak-Kanak.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Electricity beri rebat elektrik 2.5 peratus kepada 661,774 pengguna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular