KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didesak memberi penjelasan terperinci berhubung tunggakan bayaran balik cukai terlebih bayar kepada rakyat dan syarikat yang dilaporkan mencecah RM33.3 bilion setakat tahun 2024.
Perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoal kelewatan bayaran balik cukai yang didakwa berlaku sejak 2020, sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai perniagaan dan individu pembayar cukai.
Menurutnya, berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, komitmen bayaran balik cukai menunjukkan peningkatan ketara daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM21.8 bilion (2021), RM25.7 bilion (2022), RM25.5 bilion (2023) dan seterusnya melonjak kepada RM33.3 bilion pada 2024.
“Kita bercakap tentang wang rakyat yang terlebih dikutip tetapi tidak dipulangkan selama tiga hingga empat tahun.
“Ini bukan isu kecil dan memberi kesan langsung kepada operasi syarikat serta kewangan individu,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau turut mempersoalkan mengapa proses bayaran balik mengambil masa yang lama sedangkan pembayar cukai dikenakan penalti dan tindakan undang-undang sekiranya gagal melunaskan cukai dalam tempoh ditetapkan.
Rafizi berkata, kebanyakan tunggakan bayaran balik melibatkan cukai pendapatan, selain beberapa kategori lain termasuk cukai keuntungan harta tanah (RPGT), namun butiran terperinci penerima tidak didedahkan secara terbuka dalam dokumen belanjawan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan mendedahkan pecahan penerima bayaran balik cukai mengikut kategori, tempoh kelewatan serta punca utama tunggakan berkenaan.
“Ketelusan penting supaya rakyat memahami kedudukan sebenar kewangan negara dan tidak timbul persepsi bahawa bayaran balik ditangguhkan bagi memperlihatkan kedudukan fiskal kerajaan lebih baik,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM4 bilion bagi melunaskan sebahagian bayaran balik cukai tertunggak, namun jumlah keseluruhan tunggakan yang masih belum diselesaikan terus menjadi perhatian ahli Parlimen dan pihak berkepentingan. – SABAH MEDIA



