KOTA KINABALU: Daerah Papar dipilih sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei nanti.
Perkara itu diumumkan dalam Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, di Bilik Mesyuarat Kementerian Kerja Raya Dan Utiliti Sabah (KKRU), di sini pada Selasa
Mesyuarat berkenaan membincangkan persiapan serta perancangan awal penganjuran perayaan tahunan terbesar negeri itu yang diraikan sepanjang bulan Mei.
Menurut Joachim, perayaan Kaamatan menjadi platform penting untuk memelihara warisan budaya Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan semangat komuniti seluruh negeri.
Joachim berkata, perayaan Kaamatan menekankan semangat perpaduan serta usaha menjaga budaya dan adat resam warisan turun-temurun masyarakat Sabah.
“Kaamatan bukan sahaja menjadi medan meraikan hasil tuaian, tetapi juga simbol keharmonian dan kekayaan budaya masyarakat Sabah yang sentiasa dipertahankan daripada generasi ke generasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri I, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Suman Yasambun; Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip; pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan serta ahli jawatankuasa penganjur.



