KOTA KINABALU : Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membawa isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pemilikan dan kawal selia sumber minyak dan gas ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan muktamad berlandaskan Perlembagaan.
Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu berkata, langkah berprinsip agar perkara itu ditentukan mahkamah adalah langkah wajar sekiranya Kerajaan Persekutuan berpegang bahawa isu minyak dan gas sepenuhnya berada di luar ruang lingkup MA63 dan tertakluk secara mutlak kepada undang-undang Persekutuan.
“Isu ini tidak wajar terus bergantung kepada tafsiran sepihak atau kenyataan politik semata-mata.
“Ia perlu diputuskan secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.
Cadangan itu dikemukakan susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang menyatakan bahawa MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber petroleum, sekali gus menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia.
Barhul berkata, walaupun MA63 tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, dokumen itu tidak boleh ditafsir secara sempit kerana ia merupakan asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.
Menurutnya lagi, kepastian undang-undang amat penting bukan sahaja demi mempertahankan hak perlembagaan Sabah, tetapi juga bagi memastikan hubungan Persekutuan–Negeri kekal sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam MA63.
“Ini bukan soal emosi atau retorik, sebaliknya soal kedaulatan undang-undang dan keadilan kepada Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA



