HomeUtamaSaksi kanak-kanak tidak ingat siapa serah “Surat Privasi” didakwa milik Zara

Saksi kanak-kanak tidak ingat siapa serah “Surat Privasi” didakwa milik Zara

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak tidak dapat mengingati siapakah individu ketiga yang menyerahkan kepadanya sepucuk surat bertajuk “surat privasi” yang didakwa ditulis oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara menjelaskan bahawa saksi berkenaan bukan sahaja tidak dapat mengingati identiti pihak ketiga itu, malah tidak pasti sama ada surat tersebut diterimanya sebelum atau selepas kejadian.

Menurutnya, saksi itu merupakan salah seorang saksi kanak-kanak yang dipanggil semula untuk memberi penjelasan mengenai beberapa perkara, termasuk sepucuk surat dan dua nota yang didakwa diberikan oleh Zara kepadanya melalui pihak ketiga.

Selain surat dan dua nota tersebut, Shahlan berkata saksi itu turut menerima sebuah rantai kunci berbentuk avokado daripada Zara.

“Saksi memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengingati siapa yang menyerahkan nota-nota tersebut kepadanya, namun apa yang diingatinya ialah semua barang itu diserahkan oleh individu yang sama.

“Apabila ditanya bagaimana dia mengetahui ia diberikan oleh orang yang sama, saksi menjelaskan bahawa kesemua barang itu diterimanya pada hari yang sama,” katanya.

Shahlan turut menjelaskan bahawa saksi tersebut kemudian mengumpulkan semua barang yang diterimanya dan memasukkannya ke dalam sebuah beg plastik berwarna putih.

“Saksi seterusnya menyerahkan beg plastik putih yang mengandungi semua barang itu kepada ustazah Syukriah untuk disimpan sementara kerana saksi berhasrat untuk mengambilnya semula.

“Bagaimanapun, semua barang tersebut telah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James turut mewakili ibu Zara.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Saksi kanak-kanak selesai beri keterangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular