HomeUtamaSEDCO, DBKK pacu penyelesaian projek legasi, taman perindustrian PKS disasar siap suku...

SEDCO, DBKK pacu penyelesaian projek legasi, taman perindustrian PKS disasar siap suku kedua 2026

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperhebat usaha bagi menyelesaikan projek legasi yang telah lama tertangguh.

Ini termasuklah Taman Perindustrian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) SEDCO di Sepanggar, yang kini disasarkan untuk disiapkan sepenuhnya dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (OC) pada suku kedua tahun 2026.

SEDCO dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah proaktif itu selaras dengan hala tuju kepimpinan baharu SEDCO di bawah Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, yang menegaskan semua projek legasi dan isu prestasi pengurusan perlu ditangani secara tegas berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas.

Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut diterjemahkan menerusi tindakan segera, termasuk penyelarasan antara agensi dan pemantauan rapi di peringkat pelaksanaan.

Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong, bersama Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong, pada Isnin telah mengetuai lawatan tapak serta sesi penyelarasan teknikal di Taman Perindustrian PKS SEDCO, Sepanggar.

Menurut SEDCO, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan turun padang bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu teknikal, pematuhan serta pelaksanaan yang masih tertunggak, sekali gus memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna demi kepentingan negeri.

Projek Taman Perindustrian PKS SEDCO sebelum ini berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan kemajuannya.

Namun, melalui usaha bersepadu sepanjang tahun lalu melibatkan pasukan projek, perunding, kontraktor serta kerjasama rapat DBKK, projek itu kini menunjukkan pemulihan ketara dan memperoleh momentum baharu.

Membawa pengalaman luas dalam bidang seni bina dan pengurusan projek, James memperkenalkan pendekatan lebih tersusun, berorientasikan penyelesaian dan berpaksikan prestasi, termasuk pengukuhan kerjasama antara agensi, pemantauan kontraktor yang lebih ketat serta penetapan tanggungjawab yang jelas di setiap peringkat pelaksanaan.

SEDCO optimis projek itu kini berada pada fasa akhir dan akan memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negeri sebaik siap kelak.

Taman Perindustrian PKS SEDCO yang menyediakan premis perindustrian siap dibina dan berfungsi disasarkan untuk menyokong pertumbuhan sektor pembuatan dan perindustrian ringan, khususnya dalam kalangan pengilang tempatan dan PKS Bumiputera.

Selain merancakkan aktiviti ekonomi, projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh ekosistem perindustrian tempatan di sekitar kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

SEDCO menegaskan komitmennya untuk merealisasikan objektif asal projek dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah.

Usahawan, pengilang dan pemain industri yang berminat untuk menyewa unit di Taman Perindustrian PKS SEDCO dialu-alukan untuk mendaftar awal dengan pihak SEDCO.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Labuan rampas 32 tong GPC bernilai RM4,399.80

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular