KUALA LUMPUR : Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi asas penting dalam menyatukan rakyat Malaysia, khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, perjanjian itu bukan sekadar satu dokumen perundangan, sebaliknya merupakan perjanjian yang telah termaktub sejak 1963.
Beliau berkata, perjanjian itu turut berperanan mengharmonikan hubungan antara rakyat pelbagai wilayah di negara ini.
“Pelaksanaan perjanjian tersebut dilihat amat penting demi menjamin keharmonian serta masa depan negara, khususnya bagi rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Usaha memperkukuh kefahaman terhadap MA63 turut melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk pimpinan negara serta golongan pelajar dari Sabah yang diberi pendedahan mengenai sejarah dan kepentingan perjanjian tersebut.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah positif dalam memupuk kesedaran dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas mengahdiri Majlis Peluncuran Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Matbali berkata, kepimpinan negara kini dilihat komited untuk memastikan pelaksanaan MA63 berjalan dengan lebih lancar dan menyeluruh.
“Namun kita berharap agar MA63 tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, perjanjian ini wajar dilihat sebagai asas perpaduan dan kerjasama demi kepentingan bersama rakyat Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA



