KUALA LUMPUR : Pewujudan semula portfolio kementerian yang bertanggungjawab khusus terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani baru-baru ini dijangka memberi kesan positif terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah tersebut amat dinantikan khususnya oleh rakyat di kedua-dua negeri berkenaan yang sekian lama menunggu penyelesaian menyeluruh berkaitan tuntutan MA63.
Menurut beliau, penubuhan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini diterajui oleh pemimpin berasal dari Sabah diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan tuntutan MA63 secara lebih tersusun, jelas dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai wakil rakyat dari Sabah, saya amat menghargai keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap isu MA63.
“Kewujudan semula portfolio khas ini hasil rombakan Kabinet Madani pada akhir Disember lalu dijangka membawa impak positif dalam usaha memuktamadkan perkara-perkara tertunggak di bawah MA63 secara berperingkat dan berstruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat.
Shahelmey turut menyatakan keyakinan bahawa kesepakatan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dalam suasana politik yang stabil dan harmoni, akan mempercepatkan penyelesaian isu-isu berkaitan MA63 demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung kajian semula kadar Pemberian Khas Negeri Sabah boleh dijadikan asas penting ke arah merangka kaedah penetapan kadar pemberian khas yang lebih adil dan mampan.
Selain isu MA63, Shahelmey dalam perbahasan sama turut membangkitkan dua perkara utama lain iaitu berkaitan dasar pendidikan negara serta kelewatan penyiapan projek pembangunan persekutuan di Sabah.
“Isu keciciran pendidikan masih berlarutan dan memerlukan pelan penyelesaian yang lebih tuntas serta berkesan daripada Kementerian Pendidikan.
“Manakala bagi pembangunan di Sabah, saya turut menekankan isu kelewatan projek persekutuan dan menggesa kementerian berkaitan supaya memperincikan status serta tempoh sebenar penyiapan projek-projek tersebut,” katanya. – SABAH MEDIA



