KOTA KINABALU: Penjenamaan semula Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) kepada Institut Marin Borneo (IMB) dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan agenda Ekonomi Biru Malaysia serta usaha kelestarian sumber marin di Sabah.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, transformasi institut itu dan penubuhan Pusat Penyelidikan Oseanografi serta Pusat Penyelidikan Akuakultur adalah langkah strategik selari dengan keperluan semasa negara dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
Katanya, ia termasuklah tekanan terhadap ekosistem marin dan isu keterjaminan makanan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan akan menyokong secara langsung hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi, teras kelestarian di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta agenda kementerian di peringkat negeri dan Persekutuan berkaitan sumber perikanan dan alam sekitar.
“Penyelidikan marin kini berada di barisan hadapan sebagai pemacu penyelesaian berasaskan sains, khususnya dalam memastikan pengurusan sumber laut yang mampan dan berdaya tahan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penjenamaan semula institut berkenaan di sini pada Rabu.
Kasim berkata, penyelidikan akuakultur yang diperkukuh mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan laut negara secara lestari dan kompetitif.
Katanya, penyelidikan oseanografi pula menyediakan data saintifik penting bagi menyokong perancangan pembangunan, pengurusan ekosistem dan mitigasi bencana marin.
Tambahnya, kedudukan strategik Sabah sebagai wilayah maritim memberi kelebihan kepada UMS untuk menerajui penyelidikan marin tropika, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan laut secara mampan.
“Penjenamaan baharu IMB turut dilihat sebagai langkah memperkukuh peranan UMS dalam membimbing dasar, membangunkan industri berkaitan laut serta memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO UMS



