HomeUtamaSMJ 2.0 bukti kesediaan kerajaan pimpin lonjakan ekonomi Sabah

SMJ 2.0 bukti kesediaan kerajaan pimpin lonjakan ekonomi Sabah

Read Time:3 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran melonjakkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang memberi tumpuan kepada usaha pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula pasca pandemik Covid-19 serta selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

“SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta aspirasi Malaysia MADANI.

Menurutnya, SMJ 2.0 turut dirangka selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan yang mampan serta kesejahteraan sosial jangka panjang.

“Pelan tersebut mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17, berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. Lima objektif utama SMJ 2.0 adalah membina masyarakat yang bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan,” katanya.

Ketua Menteri menjelaskan, pelaksanaan SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memfokuskan perindustrian, pelancongan dan pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM serta latihan pertanian dan digital; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau meliputi infrastruktur asas, tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, ketiga-tiga teras berkenaan disokong oleh tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan AI dan pembangunan inklusif, selain dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan Kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), Sipitang, yang dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli negeri.

“Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru. Dua taman perindustrian baharu turut dirancang di Kota Belud–Kota Marudu serta Beaufort–Kimanis bagi memperluas peluang pembangunan wilayah,”ujarnya.

Tambah beliau, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi memperluas pasaran produk tempatan.

Hajiji turut memaklumkan sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.

“Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.

“Manakala dalam usaha pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar diperkukuh melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13,” katanya.

Hajiji berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13.

“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.

“Subsektor ternakan pula menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu menerusi Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, kemudahan pelabuhan serta pembangunan rantaian hiliran,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan modal insan, infrastruktur dan Ekonomi Biru teras SMJ 2.0

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular