Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah dituduh oleh rakan sekelasnya mencuri wang, walaupun pemeriksaan mengejut di dalam kelas tidak menemui sebarang bukti.
Seorang guru Mohd Sham M Nasir, 27, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-61 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata beliau menasihati pelajar yang menuduh Zara mencuri wang untuk tidak membuat membuat tuduhan tanpa bukti.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 14 Julai 2025, semasa beliau mengajar dalam kelas Zara. Beliau melihat seorang pelajar kelihatan sedih dan seakan-akan mahu menangis. Apabila ditanya, pelajar itu memberitahu bahawa dia telah kehilangan wang RM20 semasa pergi ke makmal Sains.
Beliau telah bertanyakan kepada semua pelajar di dalam kelas sama ada sesiapa tahu orang yang terakhir keluar dari kelas. Tetapi semua pelajar mendiamkan diri dan beliau melakukan pemeriksaan mengejut (spotcheck) terhadap semua pelajar yang hadir pada hari tersebut termasuk Zara.
“Pemeriksaan dilakukan selama 10 hingga 15 minit sahaja. Hasil pemeriksaan tidak menjumpai duit yang hilang,” katanya sambil menambah selepas pemeriksaan beliau meneruskan kelas seperti biasa.
Selepas selesai kelas semasa beliau sedang berkemas untuk keluar dari kelas, pelajar yang kehilangan duit telah memberi secebis kertas kepada beliau yang tertulis perkataan “Zara”.
“Saya membuka kertas tersebut. Di dalam kertas tersebut tertulis perkataan “Zara”. Saya kemudian berdiri untuk keluar daripada kelas dan saya sempat menasihati pelajar itu jangan tuduh tanpa bukti. Secara tiba-tiba, dua pelajar termasuk Pelajar A mengiyakan kenyataan pelajar yang kehilangan duit itu,” katanya.
Menurutnya salah seorang pelajar itu mengatakan bahawa Zara mempunyai kes sebelum ini manakala Pelajar A mengatakan dia pun pernah kehilangan wang dan mengesyaki Zara yang melakukanya.
Mohd Sham berkata beberapa pelajar perempuan lain yang duduk di bahagian belakang hanya mendiamkan diri, manakala pelajar perempuan yang duduk di bahagian hadapan termasuk iaitu Pelajar A sedang bercakap dan berbincang berkenaan perkara tersebut.
Mohd Sham berkata dia yakin dua pelajar tersebut tahu berkenaan perkara itu (Zara dituduh) walaupun pelajar yang kehilangan wang hanya memberikan secebis kertas tertulis nama Zara tanpa menyebut nama Zara.
Mohd Sham berkata beliau yakin Zara mendengar perbualan di antara beliau dan tiga orang pelajar itu memandangkan Zara duduk selang satu meja dari pelajar yang kehilangan wang dan selang empat meja dari Pelajar A.
“Pada waktu itu saya tidak melihat muka Zara kerana tidak mahu Zara berasa tidak selesa dengan apa yang diperbualkan oleh kami.
“Kemudian saya telah membaca doa untuk tamatkan kelas saya, saya dapati Zara duduk di atas kerusi di bahagian tengah belakang kelas.
“Saya dapati reaksi mukanya seperti biasa sambil menghayunkan kedua-dua kakinya. Selepas selesai membaca doa saya keluar dari kelas,” katanya.
Ceritanya lagi, semasa berjalan keluar dari kelas melalui pintu hadapan, tiga orang pelajar berkenaan serta beberapa pelajar perempuan lain mengerumuni beliau dan menuduh Zara yang mencuri.
“Saya masih ingat (nama pelajar disebut) menyatakan “Cikgu saya pun rasa Zara yang mencuri sebab sebelum ini dia pernah mencuri’’.
“Kemudian pelajar yang kehilangan wang berkata, “Iya cikgu”. Pelajar A pula berkata “Dia pernah mencuri. Duit saya pun pernah hilang ratus”. Sekali lagi saya telah menasihati mereka supaya jangan menuduh tanpa bukti. Kemudian saya terus ke kantin,” katanya.
Tambahnya lagi, pada 15 Julai 2025, pada tarikh tersebut saya bertugas seperti biasa di sekolah pada waktu siang. Selepas selesai tugas pada jam 1.30 petang saya terus pulang ke rumah.
Prosiding bersambung Isnin.



