KOTA KINABALU : Sabah FC mengumumkan dua pemain import baharu bagi memperkuat cabaran Sang Badak bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim 2025/2026.
Antara pemain yang akan menjadi sandaran utama adalah pemain dari Haiti, Belfort Kervensfils yang akan bermain sebagai penyerang.
Dengan pengalaman luas beraksi di luar negara, Belfort diyakini akan membantu memperkuat barisan Sang Badak
Sebelum menyertai Sabah, anak jati Haiti itu beraksi selama satu musim untuk kelab Lalitpur City yang beraksi di Liga Nepal pada musim 2024/2025.
Sabah merupakan kelab kedua beliau di kancah Liga Malaysia kerana Belfort Kervensfils pernah menyertai pasukan Kelantan FC pada musim 2021/2022.
Sementara itu, Sabah FC turut memperkenalkan Duje Ljubic, pemain tengah muda dari Croatia yang sebelum ini beraksi bersama NK Hrvace.
Pemain berusia 21 tahun itu diyakini mampu membawa semangat muda, disiplin taktikal serta potensi besar untuk berkembang bersama pasukan.
Penggabungan pemain berpengalaman dan bakat muda ini mencerminkan perancangan rapi pihak pengurusan Sabah FC dalam membina pasukan yang lebih seimbang dan kompetitif.
Dengan sokongan padu penyokong setia, kehadiran dua import baharu ini diharapkan mampu membantu Sang Badak terus melakar kejayaan di pentas liga.
Ini merupakan rekrut baharu pasukan Sabah selepas kelab tersebut mengumumkan ketibaan pemain import Thai-Spanish, Ernesto Phumipha pada 21 Januari lalu.



