HomeUtamaPelarasan tarik elektrik perlu dilaksana secara seimbang - Pemuda Gagasan Rakyat

Pelarasan tarik elektrik perlu dilaksana secara seimbang – Pemuda Gagasan Rakyat

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Pelarasan tarif elektrik di Sabah yang diumumkan oleh Sabah Electricity (SE) berkuat kuasa mulai 1 Februari perlu dilaksanakan secara seimbang dengan perlindungan menyeluruh kepada rakyat serta peningkatan ketara kualiti perkhidmatan.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, pihaknya memahami bahawa semakan tarif merupakan langkah yang sukar dielakkan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti dan mencukupi untuk keperluan semasa serta masa depan.

Menurutnya, pelarasan itu juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, selain menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan sistem dan keperluan menaik taraf infrastruktur grid elektrik yang semakin usang.

“Namun, sebarang kenaikan tarif mesti disertai dengan peningkatan kualiti perkhidmatan yang benar-benar boleh dirasai oleh rakyat. 

“Isu gangguan bekalan, ketidakstabilan voltan dan kebolehpercayaan sistem tidak boleh lagi dianggap perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila pengguna diminta membayar kadar yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat menuntut agar SE dapat memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem serta respons perkhidmatan pelanggan berada pada standard yang setimpal dengan pelarasan tarif berkenaan.

Beliau turut menggesa agar perlindungan kepada pengguna diperluaskan melalui mekanisme diskaun, rebat atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil serta sektor kritikal yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.

“Pendekatan bersasar dan berfokus amat penting supaya pelarasan tarif ini tidak memberi tekanan berlebihan kepada kumpulan rentan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa setiap sen hasil daripada kenaikan tarif perlu dibelanjakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab, dengan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur, pengurangan gangguan bekalan serta pelaburan dalam sumber tenaga yang lebih mampan dan cekap.

“Rakyat berhak melihat pulangan yang jelas daripada apa yang mereka bayar,” katanya.

Sementara itu, Azrul berkata, pihaknya berharap semua pihak berkepentingan dapat mengambil pendekatan seimbang antara keperluan kewangan utiliti, tanggungjawab kerajaan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Semakan tarif ini bukan sekadar soal kenaikan harga, tetapi sepatutnya menjadi langkah ke hadapan untuk memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan masa depan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tarif elektrik disemak secara berhemah demi bekalan tenaga Sabah yang mampan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular