HomeUtamaSabah perintis libatkan komuniti OKU dalam agenda kesihatan

Sabah perintis libatkan komuniti OKU dalam agenda kesihatan

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Sabah tampil sebagai negeri perintis dalam memperkasakan penglibatan aktif komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sistem kesihatan negara menerusi pelantikan Dr Sabrina Moahmmad sebagai Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan bagi tahun 2026.

Mesyuarat pertama yang dihadiri Dr Sabrina (kiri) sebagai Panel Penasihat.

Pelantikan itu menjadikan Sabah antara negeri terawal yang memacu penglibatan strategik masyarakat, khususnya komuniti OKU, dalam agenda ‘Kesihatan Untuk Semua’, sekali gus mewujudkan satu model yang berpotensi dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan berperanan sebagai penggerak utama penglibatan masyarakat, penghubung strategik antara komuniti dan Jabatan Kesihatan, serta pemacu kepada pengurusan dan pelaksanaan aktiviti kesihatan berorientasikan komuniti.

Menerusi pendekatan ini, rakyat termasuk golongan OKU dilibatkan secara langsung dalam perancangan dan sokongan terhadap pelbagai inisiatif kesihatan, sekali gus memastikan pelaksanaan program yang lebih inklusif, berkesan dan menepati keperluan sebenar masyarakat.

Dr Sabrina merupakan seorang Pegawai Perubatan berpengalaman dan kini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Kesihatan Awam. Beliau turut memiliki Sarjana Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, dengan fokus penyelidikan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek kesihatan, kesejahteraan dan keadilan sosial.

Pengalaman beliau sebagai Pegawai Perhubungan Kesihatan kepada Menteri atau EXCO Kesihatan Sabah, selain penglibatan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk sebagai Presiden Alzheimer Disease Sabah dan Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia, mengukuhkan peranannya sebagai penghubung antara dasar kesihatan, pelaksanaan program dan penglibatan komuniti.

Dr Sabrina menegaskan, kesihatan bukan tanggungjawab sistem kesihatan sahaja. Penglibatan aktif masyarakat, khususnya komuniti OKU, adalah nadi kepada kejayaan agenda ‘Kesihatan Untuk Semua’.

“Sabah kini menjadi contoh bahawa pendekatan inklusif dan komunikasi dua hala membolehkan setiap suara didengari dan setiap program memberi impak sebenar kepada masyarakat.” Katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai Panel Penasihat, Dr Sabrina dijangka menjadi penggerak utama yang menghubungkan komuniti dengan Jabatan Kesihatan, memacu penglibatan aktif rakyat dalam semua inisiatif kesihatan, serta menerajui pengurusan dan pelaksanaan aktiviti kesihatan berorientasikan komuniti.

Dengan kepakaran dan pengalaman beliau, setiap program kesihatan di Sabah dijangka dirancang dan dilaksanakan secara lebih inklusif, berkesan dan memberi impak maksimum kepada kesejahteraan masyarakat, termasuk golongan OKU.

Inisiatif ini sekali gus meletakkan Sabah sebagai rujukan dalam pelaksanaan agenda kesihatan inklusif, selaras dengan aspirasi nasional dan global untuk memastikan akses kesihatan yang adil, berkualiti dan menyeluruh di seluruh negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Salah guna kad SIM, SIM Box ancam keselamatan komunikasi negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular