CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi, termasuk peralatan SIM Box dan kad SIM, yang digunakan bagi tujuan jenayah serta aktiviti penipuan dalam talian.
Menurut kenyataan media MCMC, hari ini, penggunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, sering disalahgunakan bagi tujuan penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital, serta memudahkan pelbagai bentuk jenayah siber.
“Penyalahgunaan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan pengguna, malah mengancam integriti rangkaian komunikasi negara,”katanya.

Menerusi satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan baru-baru ini di Kajang, pihak berkuasa telah merampas 50 peralatan SIM Box, kira-kira 5,000 kad SIM serta pelbagai kelengkapan berkaitan bagi tujuan siasatan.
MCMC memaklumkan operasi dan siasatan tersebut diterajui sepenuhnya oleh PDRM, manakala siasatan di bawah bidang kuasa MCMC dijalankan selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan serta jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM bagi tujuan penciptaan akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara dan kestabilan ekosistem digital.
Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi digesa memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM bagi memastikan tahap keselamatan digital sentiasa terpelihara.
MCMC menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM serta agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi, menjamin keselamatan negara, dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.



