HomeUtamaSabah rancang bina SMAN berkonsep Al, perkukuh pendidikan Islam

Sabah rancang bina SMAN berkonsep Al, perkukuh pendidikan Islam

Read Time:2 Minute, 3 Second

TAWAU: Kerajaan Negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (Al) di kawasan sebelah Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadhan-Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Ahad.

Hajiji menegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal, bangunan tinggi atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama.

Menurut beliau, pembangunan pendidikan Islam bukan sekadar penyediaan infrastruktur, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah.

Sehubungan itu, katanya. Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Hajiji berkata, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.
Pada sebelah pagi, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah tersendiri sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan Al.

Katanya, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.

“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelma sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Negeri komited perkukuh IPG Tawau, tingkat kualiti latihan perguruan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular