HomeEkonomiAumas Kaut Untung Bersih RM33.35 Juta Bagi FY25, Didorong Lonjakan Harga Emas...

Aumas Kaut Untung Bersih RM33.35 Juta Bagi FY25, Didorong Lonjakan Harga Emas Global

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU — AuMAS Resources Berhad mencatatkan untung bersih RM33.35 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25), meningkat 2.55% berbanding RM32.52 juta pada FY24, didorong terutamanya oleh kenaikan mendadak harga emas global serta pertambahan pengeluaran di lombong Bukit Mantri, Tawau.

Menurut Laporan Tahunan 2025, hasil kumpulan melonjak 46.37% kepada RM248.57 juta berbanding RM169.82 juta pada FY24, dipacu oleh kenaikan harga jualan emas purata sebanyak 27.31% kepada RM435,300 sekilogram (FY24: RM341,930/kg) serta peningkatan pengeluaran emas sebanyak 15.22% kepada 566.42 kilogram. Hasil emas sahaja mencecah RM246.57 juta, meningkat hampir RM78.5 juta tahun ke tahun. 

Dalam ulasan kewangan, syarikat menjelaskan bahawa walaupun kos pengeluaran meningkat akibat tekanan inflasi, gangguan operasi dan kos penyelenggaraan lebih tinggi, keuntungan sebelum cukai (PBT) tetap meningkat kepada RM56.55 juta berbanding RM45.46 juta pada FY24.

Bagaimanapun, keuntungan bersih hanya meningkat marginal berikutan pelarasan cukai tempoh terdahulu yang menyebabkan kadar cukai efektif melonjak kepada 41.03%. 

AuMAS, satu-satunya syarikat perlombongan emas tersenarai di Bursa Malaysia, mengendalikan operasi melalui anak syarikat milik penuhnya Wullersdorf Resources Sdn Bhd di lombong emas Bukit Mantri seluas 317.7 hektar di Tawau, Sabah, dengan pajakan sehingga 2048.

kenaikan harga emas global sepanjang FY25 memberi sokongan besar kepada margin, sekali gus menampan kesan kenaikan kos bahan api, buruh dan penyelenggaraan. 

Dari segi pulangan kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan tiga dividen interim berjumlah 4 sen sesaham, melibatkan agihan keseluruhan sekitar RM72.9 juta sepanjang FY25. 

Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Aumas, Datuk Seri Md Ajib Anuar dalam makluman tersebut menyatakan bagi FY2026, kumpulan akan menumpukan kepada perluasan aktiviti eksplorasi.

Langkah berkenaan diharapkan dapat menambah rizab yang boleh dilombong secara komersial serta meningkatkan kecekapan operasi syarikat melalui pelaburan teknologi dan pelbagai jentera baharu.

Beliau optimis pengoperasian loji pemprosesan baharu berkapasiti 2,000 tan sehari akan memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam mendepani ketidaktentuan pasaran komoditi

Melangkah ke FY26, AuMAS merancang untuk memperkukuh kecekapan operasi, memperluas aktiviti penerokaan serta menyiapkan loji pemprosesan baharu berkapasiti 2,000 tan sehari, bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam persekitaran harga emas global yang kekal tidak menentu. 

RELATED ARTICLES
Utama

Putrajaya Diingatkan untuk Hentikan Tindakan Mahkamah, Elak Ketegangan Persekutuan – Borneo...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular