Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penganjuran kursus Kepimpinan Komunikasi Krisis Sabah memberi penekanan kepada pembinaan kebersamaan dan semangat pasukan dalam kalangan pegawai-pegawai politik kementerian di negeri ini.
Kursus yang dianjurkan Pejabat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu turut dihadiri lebih 50 peserta terdiri dari semua pegawai politik dari pelbagai kementerian.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Azrul Ibrahim berkata, program itu bertujuan memastikan pegawai politik dapat bekerja sebagai satu pasukan yang cekap dan berkesan.
“Ini sekali gus menyokong kementerian masing-masing dalam menangani isu rakyat dengan lebih teratur dan profesional.
“Kursus ini bukan sahaja untuk memperkasakan peranan pegawai politik, tetapi juga mewujudkan suasana kekeluargaan yang penting bagi membina pasukan kerja yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus Kepimpinan Komunikasi Krisis Sabah di sini pada Selasa.
Azrul berkata, pendekatan berpasukan itu membolehkan setiap isu yang timbul di kementerian dapat diurus dan diselesaikan secara tersusun.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian program dan bantuan kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, kursus itu juga memberi peluang kepada pegawai politik untuk memahami peranan mereka dalam menyokong dasar kerajaan serta membantu kementerian menangani isu-isu kritikal yang wujud, memastikan rakyat tidak tercicir daripada manfaat inisiatif kerajaan.
Terdahulu, ketika berucap, Azrul berkata, kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh lima tahun akan datang, termasuk keputusan tidak popular yang perlu dibuat demi kepentingan jangka panjang Sabah.
Justeru katanya, kesiapsiagaan dalam pengurusan krisis dan komunikasi awam amat diperlukan.
“Mengambil contoh isu kenaikan tarif elektrik baru-baru ini, gerak kerja awal yang melibatkan pertemuan bersama Sabah Electricity, wakil rakyat kerajaan serta penyediaan bahan penerangan telah membantu kerajaan mengurus persepsi awam dengan lebih tersusun.
Katanya, pendekatan ‘menjuarai isu’ dengan memberi penjelasan awal kepada rakyat merupakan antara strategi penting bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham terhadap dasar kerajaan.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan penyelarasan erat antara kementerian kritikal seperti kerja raya, utiliti, bekalan air dan tenaga, bagi memastikan mesej yang disampaikan kepada rakyat adalah jelas, konsisten dan tidak bercanggah.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan peranan pegawai politik kementerian sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan, termasuk menterjemahkan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara tepat kepada rakyat serta mengurus sensitiviti politik dan sentimen awam secara berfakta dan berhemah. – SABAH MEDIA



