KUALA LUMPUR,— Tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memohon semakan kehakiman terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) berhubung operasinya di Sarawak disifatkan berisiko mencetuskan ketegangan politik serius antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri Borneo.
Pakar kajian Asia dari Universiti Tasmania, Prof. James Chin, berkata langkah undang-undang itu bukan sahaja tersasar, malah boleh membuka semula luka sejarah yang belum sembuh sejak pembentukan Malaysia.
Beliau berkata tindakan Petronas membawa isu PDA74 ke mahkamah berpotensi mencetuskan reaksi berantai, bermula di Sarawak dan Sabah, sebelum merebak ke negeri-negeri pengeluar petroleum lain di Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu.
“Ini bukan sekadar isu perundangan. Ia menyentuh asas hubungan Persekutuan–negeri. Jika dibahaskan secara terbuka di DUN, kesannya boleh menggugat kestabilan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sabah Media baru-baru ini.
Menurutnya Petronas pada 12 Januari lalu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja peraturan yang mengawal aktiviti huluan dan hilirannya di Sarawak. Mahkamah menetapkan 16 Mac depan bagi memutuskan permohonan kebenaran (leave) untuk semakan kehakiman itu.
Permohonan tersebut memetik pertikaian berterusan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkaitan pengagihan gas dan pelesenan.
Menurut Chin, walaupun Petronas menyifatkan tindakan itu sebagai usaha mendapatkan “kepastian peraturan”, langkah tersebut dilihat mencabar autonomi Sarawak yang berakar daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Isu Sejarah dan Perlembagaan
Menurut Prof James Chin, PDA74 yang diluluskan pada 1974 telah memusatkan pemilikan sumber petroleum kepada Petronas, sekali gus mengatasi undang-undang negeri yang sedia ada ketika itu.
“Akta ini tidak pernah dibentang atau diluluskan di DUN Sabah dan Sarawak, satu kelemahan perlembagaan yang besar kerana ia memintas perlindungan MA63,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak kini menegaskan hak kawal selia melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) yang memberi kuasa kepada Petros ke atas pengedaran gas di dalam negeri
Chin berkata tindakan undang-undang itu berpotensi mencetuskan perbahasan terbuka di DUN Sarawak, diikuti Sabah, sebelum mencetuskan reaksi berantai di negeri-negeri lain.
“Apabila isu ini dibuka secara terbuka, ia boleh mencetuskan sentimen pemisahan dan melemahkan kepercayaan terhadap kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi mengembalikan isu itu ke meja rundingan politik.
Perlu Hormati Persefahaman
Menurut James Chin lagi, pada Mei 2025, Perdana Menteri dan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg telah menandatangani Deklarasi Bersama yang mengiktiraf kewujudan bersama PDA74 dan DGO.
Deklarasi itu, katanya, menetapkan Petros sebagai pengagregat gas domestik, manakala Petronas mengendalikan eksport LNG.
“Tindakan Petronas ke mahkamah kini menjejaskan persefahaman ini dan menghantar isyarat tidak percaya,” katanya.
Salah Anggap Terhadap Sentimen Borneo
Chin turut menegur sikap sesetengah pemimpin Semenanjung yang memandang ringan sentimen di Sabah dan Sarawak.
“Isu ini menyatukan majoriti rakyat di Borneo merentasi etnik dan parti. Ia bukan isu kecil atau bermusim,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan Persekutuan Malaysia bergantung kepada dialog, kompromi dan saling menghormati, bukannya konfrontasi melalui saluran mahkamah.
Pandangan beliau di Dalam Bahasa English boleh dilayari disini,



