HomeUtamaKerajaan Malaysia nafi serahkan tanah 5,207 hektar kepada Indonesia

Kerajaan Malaysia nafi serahkan tanah 5,207 hektar kepada Indonesia

Read Time:1 Minute, 57 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan Malaysia menafikan dakwaan bahawa negara ini menyerahkan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung di kawasan Nunukan, berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan menyalahi fakta sejarah, malah boleh dianggap penipuan jika disebarkan tanpa niat baik.

“Kerajaan menegaskan bahawa penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa, bukan pampasan atau timbal balik.

“Dalam hal ini, sempadan darat Malaysia-Indonesia ditentukan melalui beberapa dokumen sejarah, antaranya Boundary Convention 1891, Boundary Agreement 1915, dan Boundary Convention 1928, yang menetapkan kedudukan muara sungai dan garis latitude sebagai penanda wilayah.

“Contohnya, muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai menentukan kawasan yang menjadi milik Malaysia atau Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan khas mengenai isu jajaran sempadan Malaysia dan Indonesia di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, proses penentuan sempadan bagi Outstanding Border Problem (OPB), termasuk Pulau Sebatik, Sungai Sinapat dan Sungai Sesai, telah dijalankan secara berperingkat sejak tahun 1977.

Katanya. Kerja-kerja itu melibatkan pengukuran, penandaan, dan siasatan bersama antara pegawai Malaysia dan Indonesia.

“Hasilnya, Malaysia memperoleh kawasan tambahan seluas 780 hektar di Sungai Sinapat dan Sungai Sesai, manakala Pulau Sebatik menyumbang tambahan lima hektar untuk Malaysia. Selebihnya, seluas 5,987 hektar masih kekal di bawah pengurusan Indonesia.

“Setiap inci tanah telah dibincangkan dan disepakati bersama oleh Kerajaan Sabah sebelum dimuktamadkan dengan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

” Dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah adalah tidak benar, dan perlu dilihat berdasarkan fakta dan peta rasmi,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan turut menekankan bahawa rundingan sempadan adalah perkara sensitif dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik untuk meraih keuntungan sesaat.

Katanya, hubungan baik dan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia telah dipelihara sejak 1974, dan semua keputusan dibuat untuk memastikan kepentingan rakyat kedua-dua negara terjaga.

Beliau turut mengiktiraf jasa pegawai Malaysia, termasuk Jabatan Tanah, Jabatan Ukur, Pejabat Peguam Negeri, dan pihak tentera, yang bertungkus-lumus memastikan pengukuran sempadan dilakukan dengan tepat walaupun di kawasan hutan dan sempadan sukar.

“Kerajaan juga menekankan bahawa beberapa kawasan sempadan lain, termasuk lima kawasan intertidal di Sabah-Kalimantan Utara dan empat kawasan OPB di Sarawak-Kalimantan Barat, masih dalam proses rundingan.

” Oleh itu, kenyataan dan laporan media harus berhati-hati agar tidak menjejaskan hubungan dua negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem utiliti, kemudahan asas diperkukuh bagi kesejahteraan rakyat – Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular