SIPITANG: Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengadakan lawatan kerja pertama ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) pada Rabu bagi meninjau perkembangan industri hiliran sektor minyak dan gas yang semakin pesat.
Lawatan itu merangkumi tapak projek utama termasuk Esteel, MOLF, PFLNG 3 Sdn Bhd (ZLNG), Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (SAMUR) dan Sipitang Utilities Sdn Bhd (SUSB).

Turut hadir ialah Pengerusi Sabah Development Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob, serta barisan pengurusan kanan SOGDC dan syarikat berkaitan.
Hadir sama menyampaikan taklimat adalah wakil pengurusan tertinggi PETRONAS Sabah diketuai oleh Pengurus Besar, Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah & Labuan, Siti Ayu Haniza A. Wahab.
Menerusi hantaran di Facebook Ahli Parlimen Putatan itu, Shahelmey berkata, lawatan itu adalah bagi menilai pertumbuhan industri dan mengenal pasti potensi baharu yang boleh dibangunkan dengan penglibatan rakyat Sabah, sejajar dengan pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0.
“Lawatan ini memberi peluang untuk melihat secara langsung perkembangan projek utama serta memastikan sektor hiliran minyak dan gas terus berkembang dengan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

“Saya dapat melihat pertumbuhan dan perkembangan industri hiliran sektor minyak dan gas di SOGIP.
“Dan yakin lebih banyak potensi untuk dikembangkan dan disertai oleh rakyat yang menyertainya. Bersama kita merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya. – SABAH MEDIA



