Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita yang berada dalam keadaan mabuk di dalam sebuah tandas.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Farid Ishak, 33, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Muhammad didapati bersalah merogol wanita berusia 26 tahun itu pada 31 Mei 2024, jam 1 pagi, di tandas sebuah premis hiburan di Kepayan Point, Penampang.
Beliau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan selepas menolak permohon tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menegaskan permohonan rasmi berserta afidavit sokongan perlu dikemukakan sebelum penangguhan boleh dipertimbangkan.
Semasa rayuan peguam Nathaniel Wong yang mewakili peguam Sylyester Kuan memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Darat Diraja Malaysia serta menanggung ibu bapanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Muhammad adalah pesalah pertama dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan perbicaraan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran dan Langkah pencegahan, dengan mengambil kira trauma dialami mangsa akibat kejadian itu.
Beliau menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai jenayah kejam yang menyebabkan kesan emosi dan psikologi jangka panjang terhadap mangsa.
Fazriel berkata perbuatan tertuduh telah merosakkan maruah dan harga diri mangsa serta memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mentalnya.
“Mangsa telah mengalami trauma emosi dan psikologi yang serius, yang berkemungkinan memberi kesan jangka panjang. Pengalaman traumatik sedemikian, lebih-lebih lagi apabila dilakukan oleh individu yang rapat dengan mangsa, boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental yang berpanjangan.
“Rasa selamat, harga diri serta keupayaan mangsa untuk mempercayai orang lain telah musnah sepenuhnya, apatah lagi apabila pelaku adalah rakan mangsa sendiri,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.



