HomeUtamaDua peniaga runcit di Labuan dikompaun, gagal pamer tanda harga

Dua peniaga runcit di Labuan dikompaun, gagal pamer tanda harga

Read Time:1 Minute, 10 Second

LABUAN : Dua peniaga runcit di Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan selepas didapati melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan pematuhan yang dijalankan oleh dua pasukan penguat kuasa KPDN WP Labuan di sekitar bandar Labuan.

“Semasa pemeriksaan, pasukan mendapati kedua-dua peniaga gagal meletakkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk perdagangan.

“Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta 723,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, susulan kesalahan itu, masing-masing satu notis kompaun telah dikeluarkan kepada kedua-dua peniaga terbabit.

Jelasnya, kompaun bagi kesalahan tersebut boleh ditawarkan sehingga 50 peratus daripada kadar maksimum denda yang diperuntukkan di bawah Akta 723. 

“Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidah menegaskan KPDN Labuan sentiasa menitikberatkan aspek penandaan harga bagi menjamin ketelusan dalam urusan perniagaan serta mencegah sebarang manipulasi harga yang boleh menjejaskan pengguna.

“Harga yang dipamerkan hendaklah jelas dan diletakkan tepat pada barangan sebenar bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan penandaan harga, bagi memastikan amalan perniagaan yang adil dan berintegriti.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji alu-alukan inisiatif penyertaan tempatan Shell Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular