HomeUtamaLarangan import dan tanam guarana di Sabah kekal dikuatkuasakan

Larangan import dan tanam guarana di Sabah kekal dikuatkuasakan

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menegaskan bahawa sebarang aktiviti pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan tanaman guarana (Paullinia cupana) di Sabah adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan implikasi perundangan antarabangsa serta ancaman kepada keselamatan pertanian negeri.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata larangan tersebut selaras dengan pendirian Jabatan Pertanian Malaysia serta pemakluman rasmi Ministry of Agriculture, Livestock and Food Supply (MAPA), Brazil melalui surat OFÍCIO Nº 5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020, yang hanya membenarkan pengeksportan buah guarana untuk tujuan pemprosesan dan makanan manusia.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang menanam guarana tanpa kebenaran berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil, termasuk amaran, penyitaan dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil.

Guarana merupakan tanaman herba semula jadi dari Lembah Amazon, khususnya di Brazil, iaitu kawasan yang turut mencatat insiden penyakit South American Leaf Blight (SALB) disebabkan kulat Microcyclus ulei, yang diklasifikasikan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Jamawi turut menjelaskan SALB berupaya menyebabkan penurunan hasil lateks, pertumbuhan pokok getah terbantut serta kematian pokok, sekali gus mengancam industri getah negara, khususnya di Sabah yang mempunyai keluasan tanaman getah seluas 241,565 hektar dengan pengeluaran sebanyak 75,760 tan pada 2024, melibatkan pendapatan pekebun kecil bernilai RM287.8 juta.

“Selain itu, tanaman guarana juga berisiko membawa penyakit baharu seperti Colletotrichum guaranicola yang boleh menjangkiti tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk betik, pisang, mangga dan cili, sekali gus mengancam keselamatan agromakanan negeri.

“Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Sabah tidak membenarkan pengimportan tumbuhan, produk pertanian atau artikel terkawal dari Brazil, selaras dengan Peraturan No. 5, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” tegasnya.

Jamawi turut mengingatkan bahawa sebarang kemasukan bahan tanaman tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah melalui Permit Import atau Sijil Pemeriksaan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Beliau berkata, Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 yang diwartakan pada 1 Disember 2025 turut memperuntukkan bahawa bahan tanaman tidak sah, termasuk yang dibawa masuk tanpa pemeriksaan atau kuarantin, dikategorikan sebagai tumbuhan berbahaya.

“Setakat ini, MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan sebarang pengimportan bahan tanaman guarana, dan sebarang kemasukan secara tidak sah adalah melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau menegaskan semua pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan guarana serta sentiasa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan bagi melindungi industri pertanian, biodiversiti dan keterjaminan makanan negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

15 hotel terkemuka meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular