KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew, menggesa semua pengamal media di Sabah agar terus melaksanakan tugas pelaporan dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab, dan tahap integriti yang tinggi.
Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan berguna kepada masyarakat, sekaligus membantu kerajaan mempromosikan dasar, program dan projeknya.
“Kita berada di era digital, tetapi peranan media cetak dan elektronik tetap relevan.
“Kejujuran, ketekunan dan integriti dalam melaporkan berita adalah asas kepercayaan masyarakat terhadap media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) yang diketuai Pengerusinya, Jimmy Goh, di Pejabat Guaman beliau, pada Khamis.
Christina berkata, media bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga rakan strategik kerajaan dalam memastikan maklumat penting sampai kepada rakyat secara tepat dan berkesan.
Sementara itu, Jimmy Goh merakamkan penghargaan kepada Christina atas sumbangan beliau dalam menyokong aktiviti KKJA selama ini.
“Beliau sentiasa terbuka dan tidak pernah mengecewakan kami setiap kali diminta bantuan,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha KKJA Teo Jinn Jiun, Penolong Setiausaha Lester Joseph Bingkasan, Penolong Bendahari Yvonne Ho Yin Yin, Pegawai Rekreasi Yik Lai Ming, Pegawai Latihan Yap Siong Han serta ahli Jawatankuasa Eksekutif Elton Gomes dan Lo Teck Loong.



