PAPAR: Pengusaha khususnya usahawan makanan digesa tidak memandang ringan amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra berkata kecuaian dalam aspek kebersihan makanan boleh membawa kesan serius, termasuk risiko keracunan makanan.
“Walaupun hanya sedikit kecuaian, contohnya menjual makanan tercemar, ia boleh mengundang penyakit dan dalam keadaan tertentu boleh membawa maut.
“Oleh itu, saya menggesa semua pengusaha makanan, khususnya di kawasan DUN Pantai Manis, supaya memberi perhatian serius terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas merasmikan Kursus Latihan Pengendalian Makanan DUN N.29 Pantai Manis, di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, ramai pengusaha akan menjual makanan di bazar Ramadan dan mereka diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur kesihatan yang ditetapkan.
“Jangan ambil mudah perkara ini. Patuhi semua garis panduan pengendalian makanan demi keselamatan pengguna,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran kursus itu, Pengiran Saifuddin yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd berkata program berkenaan merupakan inisiatif membantu peniaga tempatan ke arah perniagaan yang berlesen dan berkualiti.
“Program ini turut memberi pendedahan asas berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan. Saya berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan sebaiknya,” katanya.
Seramai 110 peserta menyertai kursus anjuran Pejabat ADUN Pantai Manis dengan kerjasama Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah Pantai Manis itu.
Kursus berkenaan dibahagikan kepada dua sesi dan diadakan di Masjid Jamek As-Salam, Kampung Benoni serta Masjid Raudhatul Ilmiyah, Kampung Kuala, di sini.



