KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan beberapa langkah segera bagi menangani isu kesesakan pesakit dan tempoh menunggu yang panjang di Jabatan Pesakit Luar (JPL), Hospital Ranau, susulan aduan awam yang tular di media sosial baru-baru ini.
JKNS dalam satu kenyataan memaklumkan, kesesakan tersebut berpunca daripada pertindihan jadual lawatan kepakaran serta kekurangan pegawai perubatan.
Selain itu, peningkatan mendadak bilangan pesakit yang hadir secara ‘walk-in’ bagi mendapatkan rawatan turut menjadi antara punca kesesakan di hospital berkenaan.
Ketika ini, seramai 16 pegawai perubatan bertugas di Hospital Ranau, namun pihak jabatan mengakui keperluan kepada penambahan tenaga kerja bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan di daerah berkenaan
Sebagai langkah penambahbaikan, JKNS telah memobilisasikan pegawai perubatan ke Hospital Ranau sebagai langkah sementara sehingga terdapat penambahan pegawai perubatan di Sabah.
Dalam masa yang sama, sistem temu janji pesakit akan ditambah baik bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan pembahagian waktu rawatan serta mengurangkan kesesakan di kaunter pendaftaran.
JKNS turut menegaskan bahawa pengoperasian kaunter pendaftaran akan terus dipantau bagi memastikan ia berfungsi mengikut jadual yang ditetapkan dengan kehadiran anggota bertugas yang mencukupi.
Jabatan itu menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada rakyat adalah selamat, berkualiti dan berterusan, sejajar dengan tanggungjawab menjaga kesejahteraan masyarakat di negeri ini.



