HomeUtamaLebih 22 juta rakyat terima SARA untuk semua bermula hari ini

Lebih 22 juta rakyat terima SARA untuk semua bermula hari ini

Read Time:1 Minute, 39 Second

KUALA LUMPUR: Lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia akan menerima manfaat kredit sekali bayar RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua bermula hari ini sehingga 31 Disember 2026.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.

Menurut kenyataan itu lagi, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA untuk semua secara keseluruhan tidak termasuk bantuan SARA Bulanan jika berkelayakan.

“Mengambil kira maklum balas rakyat, Kerajaan MADANI telah melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, Kerajaan MADANI bersetuju untuk meluaskan kategori barangan SARA untuk merangkumi makanan sejuk beku.  Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas.

“Penambahan kategori frozen food turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.

Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer kepada tujuh kilometer.

Pengumuman itu turut dinyatakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Diharap ini dapat dibelanjakan sebaiknya bersempena menyambut Tahun Baharu Cina dan umat Islam mula menjalani ibadat berpuasa di bulan Ramadan,” kata beliau semasa berucap pada Perjumpaan Bersama-sama Warga Kementerian Perpaduan Negara Bersempena Perhimpunan Bulanan KPN Februari 2026, di Putrajaya.

Kementerian Kewangan turut mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kementerian menegaskan bahawa ia tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan menasihatkan pengguna merujuk hanya kepada portal rasmi STR untuk maklumat berkaitan.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) berkenaan SARA untuk Semua melalui portal rasmi SARA https://sara.gov.my.

RELATED ARTICLES
Utama

Ibu bapa perlu ambil peranan kawal penggunaan internet anak-anak – Fahmi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular