KOTA KINABALU: Sabah FC berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir Piala Cabaran selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, malam tadi.
Selepas buntu mencipta jaringan pada separuh masa pertama, kebangkitan skuad Sang Badak terserlah sebaik permainan bersambung apabila dua gol pantas dalam tempoh empat minit memastikan kelebihan selesa menjelang aksi timbal balik.
Gol pertama Sabah hadir pada minit ke-53 menerusi sepakan jarak jauh pertahanan, Dane James Ingham, apabila bola tinggi yang dilepaskan secara tidak sengaja gagal dijangka penjaga gol PDRM sebelum menerjah jaring.
Empat minit kemudian, penyerang muda Sabah, Fergus Tierney menggandakan kedudukan selepas pantas menyambar bola yang terlepas daripada genggaman penjaga gol pelawat, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekalutan di hadapan pintu gol.
Tierney nyata menjadi duri dalam daging pertahanan PDRM selepas beberapa kali hampir mencetak nama sebagai penjaring pada separuh masa pertama, namun penyudahnya gagal menemui sasaran.
Sabah sebelum itu menguasai permainan selepas melepasi tekanan awal daripada PDRM yang tampil agresif pada minit-minit pembukaan perlawanan.
PDRM pula berdepan kesukaran mengekang asakan tuan rumah dan turut menyaksikan pemain pertahanannya, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli, dilayangkan kad kuning pada minit ke-25 selepas mengasari Tierney.
Tuan rumah hampir menambah gol ketiga pada minit ke-73, namun sepakan penalti Darren Lok berjaya diselamatkan Nor Hakeem, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pasukan pelawat.
Walaupun terus diasak sehingga tamat perlawanan, PDRM berjaya mengekalkan keputusan 2-0, manakala Sabah bakal membawa bekalan penting ke perlawanan suku akhir kedua di Selangor. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



