Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan Muslim yang berdaya saing terus diperkasakan menerusi penganjuran Expo Destinasi Pelancongan Muslim Sabah dan Umrah 2026, yang julung kali diadakan di negeri ini.
Expo anjuran Persatuan Umrah dan Haji Negeri Sabah (PAUHS) itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula 7 hingga 10 Mei 2026 di Karamunsing Event Hall dan dilihat sebagai platform strategik untuk mengetengahkan potensi Sabah dalam segmen pelancongan patuh syariah.
Penganjuran expo berkenaan memberi penekanan kepada kekuatan Sabah yang merangkumi kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi serta kemudahan mesra Muslim yang semakin berkembang, sekali gus menyokong usaha memposisikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang inklusif dan mampan.

Presiden PAUHS, Nor Azmi Abi Syafian, berkata penganjuran expo itu selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya dalam memperluas pasaran pelancongan Muslim yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan tempatan.
“Sabah mempunyai kelebihan tersendiri sebagai destinasi pelancongan yang aman dan harmoni, sekali gus membolehkan produk pelancongan Muslim dibangunkan secara mampan tanpa menjejaskan identiti kepelbagaian masyarakat di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, expo berkenaan turut berperanan sebagai medium perkongsian maklumat dan peningkatan kesedaran masyarakat, khususnya berkaitan perkhidmatan umrah berlesen, amalan perjalanan yang selamat serta pematuhan piawaian syariah.
Nor Azmi berkata, penganjuran expo itu dirancang sebagai acara bersiri, bermula di Kota Kinabalu sebelum diperluaskan ke kawasan Pantai Timur Sabah termasuk Tawau dan Sandakan, bagi memastikan manfaat penganjuran dapat dirasai secara lebih menyeluruh di seluruh negeri.
Selain memberi manfaat langsung kepada pengguna, penganjuran expo berkenaan dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem pelancongan negeri melalui kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan dan pertubuhan berkaitan dalam merangka hala tuju pelancongan Muslim Sabah secara lebih tersusun.
Tambah beliau, pengunjung expo bukan sahaja berpeluang mendapatkan maklumat secara terus, malah turut didedahkan kepada elemen pendidikan dan kesedaran termasuk bimbingan mutawwif, bengkel berkaitan ibadah umrah serta panduan pemilihan pakej pelancongan yang selamat dan beretika.



