HomeUtamaAktiviti Masjid, Surau perlu patuh garis panduan JHEAINS

Aktiviti Masjid, Surau perlu patuh garis panduan JHEAINS

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Aktiviti keagamaan di masjid dan surau diwajibkan mematuhi garis panduan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan hukum syarak dan keperluan tauliah.

Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata ketetapan itu diperkenalkan menerusi Garis Panduan Aktiviti Masjid dan Surau Negeri Sabah yang bertujuan menjamin ketertiban, keseragaman serta keharmonian pelaksanaan aktiviti keagamaan di negeri ini.

“Langkah berkenaan memberi kesan langsung kepada masyarakat Islam khususnya penganjur aktiviti agar setiap program yang dirancang mematuhi peraturan syarak serta dasar pentadbiran jabatan.

“Manakala Garis Panduan Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Sabah merangkumi hal pengurusan kewangan, pengurusan fail, kaedah mengimarahkan masjid dan surau secara lebih tersusun serta berintegriti.

“Ini termasuk pemberian kuasa eksekutif kepada Pengarah JHEAINS dalam pelantikan dan penamatan jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Manual Perancangan Pembangunan Aset Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama.

Selain itu, Jumain berkata, orang awam juga menerima manfaat melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (PPR) Orang Islam Negeri Sabah yang diterbitkan sebagai buku panduan rasmi dan seragam.

“Garis panduan PPR ini memastikan prosedur dilaksanakan dengan jelas dan tersusun selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kecekapan perkhidmatan turut dipertingkatkan melalui pendigitalan urusan PPR menggunakan sistem eKahwin, ePerkahwinan dan Sijil Nikah Digital sejajar dengan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO, seterusnya mempercepatkan urusan dan memudahkan akses orang awam,” katanya.

Di samping itu, Garis Panduan Pengurusan Taman Perkuburan Islam Negeri Sabah memastikan urusan pengebumian jenazah dilaksanakan secara lebih teratur, kemas dan berpandukan hukum syarak.

“Perkara yang diperincikan termasuk ukuran liang lahad serta susun atur kubur bagi memastikan kawasan perkuburan Islam lebih tersusun dan mudah diurus,” katanya.

Pelaksanaan garis panduan berkenaan dilaksanakan JHEAINS untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan demi memastikan kebajikan dan kepentingan umat Islam di Sabah terus terpelihara.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar pengerusikan mesyuarat MB dan KM, perkukuh penyelarasan pusat-negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular