HomeUtamaSedcovest terus perkasa usahawan PKS - Redonah

Sedcovest terus perkasa usahawan PKS – Redonah

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Sedcovest akan terus meningkatkan keupayaan dan menggerakkan sepenuhnya aset serta kepakaran yang ada dalam membantu kemajuan ekonomi, membangun dan melahirkan lebih ramai usahawan di Sabah.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda berkata, agensi itu perlu lebih berani dan bertindak secara strategik dalam menghadapi apa sahaja cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.

“Kita perlu memastikan setiap aset yang dimiliki oleh Sedcovest bukan sekadar wujud di atas kertas, tetapi digunakan sepenuhnya, dioptimumkan nilainya dan diterjemahkan kepada pulangan yang memberi impak sebenar kepada organisasi.

“Utilisation aset bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk kelangsungan dan pertumbuhan,” katanya semasa berucap pada majlis merasmikan pra pelancaran dan lawatan di Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera , Likas hari ini.

Katanya, masa depan Sedcovest tidak ditentukan oleh bangunan yang dimiliki atau angka di atas kertas semata-mata, tetapi oleh keberanian untuk berubah, kesungguhan melaksanakan agenda dan kesatuan sebagai satu pasukan.

“Kita menginsafi bahawa syarikat ketika ini sedang mengharunginya tempoh yang mencabar. Namun, percayalah bahawa cabaran akan membina kekuatan. Percayalah juga setiap kesukaran akan diiringi kemudahan.

“Jika kita bergerak sehaluan, berfikir secara strategik dan bertindak dengan penuh integriti, saya yakin Sedcovest mampu melangkah lebih jauh, bukan sekadar memenuhi KPI, tetapi mencipta pencapaian yang boleh kita banggakan bersama,” ujar beliau.

Dalam hal itu, beliau meminta setiap kepimpinan dan warga kerja  agar terus membina Sedcovest yang bukan sahaja kukuh dari segi prestasi kewangan, tetapi juga teguh dari segi nilai, keyakinan dan semangat kebersamaan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sedcovest dipertanggungjawabkan bukan sahaja untuk mencipta nilai sosial dan pembangunan usahawan, tetapi juga memastikan prestasi kewangan yang kukuh serta keupayaan menjana pendapatan secara berterusan.

Seiring dengan aspirasi tersebut, katanya, Sedcovest berharap Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera Likas, satu inisiatif yang memberi peluang kepada usahawan PKS untuk mendapatkan premis perniagaan yang fleksibel dan lebih ekonomik di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

PIP Anjung Selera merupakan outlet ketiga selepas PIP Wisma SEDCO dan diwujudkan selari dengan perubahan landskap keusahawanan masa kini yang lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing.

“PIP Anjung Selera bukan sekadar menyediakan ruang perniagaan, tetapi membina ekosistem yang menyokong usahawan untuk berkembang, mencuba dan mencipta kejayaan baharu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi, Datuk Rubbin Guribah, atas dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun menerajui syarikat.

Menurut Redonah, kepimpinan terdahulu telah meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan Sedcovest, dan legasi tersebut wajar diperkukuhkan demi kesinambungan kejayaan syarikat pada masa hadapan.

“Setiap peralihan kepimpinan bukan sekadar perubahan individu, tetapi satu proses memperkukuh kekuatan yang telah dibina. Legasi yang baik perlu diperkasa agar Sedcovest terus relevan, berdaya saing dan mampan,” ujar beliau.

Majlis itu turut dihadiri mantan Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd,. Datuk Rubbin Guribah, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat & Kewangan), Azrul Ahmad yang juga Setiausaha Syarikat, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco (Perancangan & Pembangunan), Suhaimi Untong, Pengurus Besar Sedcovest, Abd. Rahim Md. Zain serta barisan Lembaga Pengarah, pengurusan kanan serta seluruh warga kerja Sedcovest.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cipta sejarah, solar terapung pertama dilancar di Empangan Babagon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular