HomeUtamaDua lelaki tempatan ditahan bantu siasatan kes bunuh di Menggatal

Dua lelaki tempatan ditahan bantu siasatan kes bunuh di Menggatal

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tempat pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal, pada Khamis (12 Feb).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

Menurutnya, hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

“Susulan itu, pada jam lebih kurang 8.10 malam, seorang lelaki berusia 71 tahun ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan.

“Seterusnya pada jam lebih kurang 10.30 malam, seorang lagi lelaki berumur 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman salah sebuah apartment di Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian yang dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian itu dan memaklumkan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Tambah Syed Lot, pihak polis memandang serius kes berkenaan dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus serta profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tutup operasi premis pelancongan jika gagal patuhi peraturan – Jafry

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular