Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas keseluruhan hampir 3,780 kilogram pelbagai jenis dadah dengan nilai dianggarkan kira-kira RM244 juta menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 yang dilaksanakan di Sabah dan Selangor.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan itu hasil operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Sabah serta kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta pihak pelabuhan.
“Rampasan ini membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah dadah yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khalid, bagi Op Coleoptera, pada 20 dan 21 Januari 2026 polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah bagi dekad ini dengan rampasan enam kontena di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang serta penahanan lapan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.
” Jumlah rampasan operasi itu membabitkan 3,043.5 kilogram methamphetamine, 102.5 kilogram ketamin, 90 kilogram pil ekstasi, empat kilogram cecair vape disyaki kokain serta 2.6 kilogram pil Erimin 5.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bagi Op Coleoptera dianggarkan kira-kira RM174 juta dan jika berjaya dipasarkan, bahan terlarang itu mampu menjejaskan kira-kira 16 juta individu,” katanya.
Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan laut dengan menyembunyikan dadah di dalam kontena logistik sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
“Empat suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Tindakan sitaan turut diambil membabitkan pelbagai aset termasuk kenderaan, wang tunai dan barangan kemas,” katanya.
Sementara itu, Op Bayu 2 yang dilaksanakan JSJN Sabah pada 5 dan 8 Februari 2026 berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah berskala besar di Penampang.
Mohd Khalid berkata, operasi bermula dengan penahanan dua lelaki tempatan di T1 Bundusan sebelum membawa kepada lima siri tangkapan susulan dan serbuan di beberapa premis sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
“Jumlah rampasan bagi Op Bayu 2 ialah 537.804 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM70 juta, melibatkan 111.3 kilogram syabu, 419.62 kilogram serbuk ekstasi, 6.787 kilogram pil ekstasi, 71.03 gram ketamin serta 25.62 gram Eramin 5.
“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Mohd Khalid menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana jenayah itu bukan sahaja mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, malah mencemarkan imej negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, Ketua Pengarah JKDM Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin dan Penolong Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang.



