PERAK: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta pelajar Sabah, khususnya yang menuntut di tempat lain supaya mengambil tahu apa yang dilaksanakan kerajaan di negeri mereka.
Beliau berkata, mereka perlu mengambil tahu perkara itu secara peribadi dan tidak terpengaruh dengan cerita di luar yang bercakap perkara tidak betul mengenai kerajaan negeri.
Katanya, pelajar perlu mengetahui perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah dihadapi di Sabah.
“Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan meneruskan dasar pembangunan yang kita rancang dan laksanakan.
“Dalam hal ini, kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan. Kita mesti ketahui secara peribadi, jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah.
“Percayalah, saya tahu ramai di sini datang dari pedalaman seperti Keningau, selain Tawau, Sandakan dan seluruh Sabah, pastikan kita dapat maklumat tepat dan betul mengenai program dan juga pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah/Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, di sini, pada Khamis.
Inisiatif GRS SubFIY Tahun 2026 itu akan memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang menuntut di UPSI pada masa ini.
Ketua Menteri turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian sama ada di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan di Semenanjung atau luar negara supaya kembali berkhidmat di Sabah.
“Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah, sumbangkan kepakaran sama ada yang diperolehi di dalam atau luar negara kepada Sabah,” katanya.
Terdahulu, Hajiji menyatakan kebanggaannya berikutan ramai pelajar dari Sabah melanjutkan pengajian di UPSI sedang menuntut di universiti itu ketika ini.
“Saya dimaklumkan penuntut di sini begitu ramai dari Sabah iaitu 2,772 orang, ini hebat sekali. Jadi apa yang penting pelajar dari Sabah di sini tumpukan perhatian khusus dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang.
“Kerana itulah saya beri tumpuan khusus kepada pendidkan kerana bagi saya inilah kunci utama untuk kita majukan negeri dan negara kita pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu katanya, beliau amat bangga ramai anak Sabah terlibat dalam aktiviti yang bukan saja melonjakkan nama universiti, tapi juga Sabah.
“Saya pun tidak tahu bahawa begitu ramai rupanya, ada yang menjadi wakil negara kita dalam bidang sukan, kebudayaan dan bidang lain, inilah yang harus kita teruskan, bukan saja untuk individu atau anak kita sendiri, tapi juga untuk negeri dan negara kita,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menerangkan sedikit sebanyak mengenai usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk untuk menyelesaikan masalah air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang.
Beliau turut menjelaskan mengenai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri yang membolehkan kerajaan memulangkan semula manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat.



