HomeUtamaSabah cipta sejarah kaksana pembedahan aneurisma otak secara sedar

Sabah cipta sejarah kaksana pembedahan aneurisma otak secara sedar

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU :  Sabah melakar sejarah dalam bidang rawatan bedah saraf apabila berjaya melaksanakan pembedahan kliping aneurisma otak secara sedar, antara prosedur otak paling maju pernah dijalankan di Borneo.

Pembedahan berisiko tinggi dan sangat khusus itu dilaksanakan pada lalu hasil kerjasama Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Prosedur berkenaan diketuai Pakar Perunding Bedah Saraf, Mr (Dr) Mohd Sofan Zenian, manakala pengurusan neuroanestesia dikendalikan Pakar Perunding Neuroanestesiologi UMS, Dr Yeap Boon Tat.

Ia turut disokong pasukan multidisiplin terdiri daripada doktor, jururawat, ahli neurofisiologi serta profesional kesihatan bersekutu.

Berbeza dengan pembedahan otak konvensional, kaedah kliping aneurisma secara sedar mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya pada peringkat kritikal pembedahan. 

Pendekatan ini membolehkan pakar bedah menilai pertuturan, pergerakan dan fungsi otak tahap tinggi secara masa nyata ketika aneurisma diklip, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan neurologi kekal khususnya apabila melibatkan kawasan otak yang kritikal.

Menurut Dr Mohd Sofan, pendekatan tersebut memberi kelebihan dari segi ketepatan dan keselamatan.

“Dengan melakukan pembedahan ketika pesakit sedar, kami menerima maklum balas segera semasa penempatan klip. Jika berlaku perubahan neurologi, kami boleh terus mengubah strategi pembedahan.

“Ini mewakili tahap ketepatan tertinggi dan penjagaan bedah saraf yang benar-benar berfokuskan pesakit,” katanya.

Dr Yeap pula menegaskan bahawa kejayaan pembedahan otak secara sedar amat bergantung kepada pengurusan neuroanestesia yang teliti dan berkemahiran tinggi.

“Pembedahan bedah saraf secara sedar memerlukan perancangan rapi, komunikasi berterusan dengan pesakit serta kawalan fisiologi otak yang tepat. 

” Mencapai keselesaan pesakit sambil mengekalkan fungsi neurologi adalah mencabar dari segi teknikal dan amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan Sabah yang semakin berkembang dalam menyediakan rawatan bedah saraf lanjutan di peringkat tempatan, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di luar negeri dan menurunkan kos rawatan.

Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim menyifatkan pencapaian itu sebagai detik membanggakan buat warga kesihatan Sabah dan bukti standard penjagaan bertaraf tertinggi yang ditawarkan hospital berkenaan sebagai pusat kecemerlangan yang diiktiraf.

“Pencapaian ini menyerlahkan kepakaran, dedikasi dan keupayaan mendalam yang dimiliki HQE II. 

“Ia mengukuhkan kedudukan kami sebagai pusat rujukan utama yang komited menyampaikan perkhidmatan bedah saraf bertaraf dunia kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr William Gotulis menyifatkan pembedahan berkenaan sebagai satu lonjakan besar dalam sektor kesihatan awam negeri.

“Kejayaan ini membuktikan impak kerja berpasukan yang kukuh, kepakaran khusus serta kerjasama antara institusi. 

” Ia menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam menyampaikan penjagaan bertaraf dunia kepada rakyat Sabah,” katanya.

Pesakit lelaki berusia 57 tahun dari Tawau dilaporkan pulih dengan baik selepas prosedur tersebut tanpa sebarang komplikasi neurologi segera. 

RELATED ARTICLES
Utama

MUTIARA GRS santuni 71 penghuni The Hope Village

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular