Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Orang ramai kini mempunyai kaedah lebih mudah, selamat dan teratur untuk melupuskan minyak masak terpakai menerusi pengenalan ‘Reverse Vending Machine’ (RVM) yang ditempatkan secara berfasa di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pelaksanaan RVM itu merupakan salah satu inisiatif di bawah program sinergi kitar semula yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Selain RVM, Dr Sabin berkata, kempen pengasingan sisa dari punca; penempatan mesin pengkomposan; inisiatif pendidikan kitar semula bermula dari sekolah 2026 dan program anak angkat fasiliti kitar semula turut akan dilaksanakan.
Menurutnya, sinergi kitar semula merupakan langkah strategik yang menyatukan pelbagai komponen pengurusan sisa dalam satu kerangka ekonomi kitaran yang mampan.
“Pengenalan RVM ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran sistem perparitan dan laut, malah melindungi kesihatan awam serta memperkukuh budaya pelupusan bertanggungjawab.

“RVM ini akan melibatkan penempatan sebanyak 20 unit secara berfasa dan sebagai permulaan, unit RVM pertama ditempatkan di Pasar Besar Kota Kinabalu sebagai projek perintis sebelum diperluaskan ke lokasi lain yang bersesuaian,” katanya.
Pelaksanaan mesin RVM ini bertujuan menyediakan kaedah pelupusan minyak masak terpakai yang lebih sistematik dan mudah diakses oleh orang awam, sekali gus mengelakkan amalan pembuangan minyak ke dalam longkang atau sistem perparitan.
Selain itu, pengguna turut menerima insentif bayaran tunai melalui aplikasi ARUS Oil yang boleh dimuat turun secara percuma di platform digital.
Inisiatif ini juga dijangka membantu mengurangkan pencemaran sungai dan perairan, di samping melindungi alam sekitar serta kesihatan awam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif My Protech Sdn Bhd Syawan Majid berkata, inisiatif pengenalan mesin itu tercetus selepas kutipan minyak masak terpakai dari rumah ke rumah didapati kurang dan tidak efisien.
“Banyak kawasan perumahan, jumlah minyak untuk kami datang kutip terlalu sedikit dan leceh untuk disimpan.
“Jadi kami sediakan satu outlet yang lebih mudah untuk pelupusan, dan dalam masa sama beri insentif kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, mesin yang ditempatkan dengan kerjasama DBKK itu adalah unit ketiga selepas dua lagi mesin seumpama dilaksanakan di Kuala Lumpur.
“Di Kota Kinabalu ini adalah yang pertama. DBKK juga merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sabah yang bekerjasama dengan kami,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk mengembangkan lagi RVM ke seluruh Sabah termasuk pelusuk kampung.
Dalam pada itu, Syazwan berkata, inisiatif itu bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan kepada masyarakat.
“Harapan kami ialah untuk kelestarian alam sekitar dan pada masa sama memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan melalui bahan kitar semula,” katanya. – SABAH MEDIA



