HomeUtamaDoktor pakar bedah mata, guru agama dinobatkan johan qari dan qariah Sabah

Doktor pakar bedah mata, guru agama dinobatkan johan qari dan qariah Sabah

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU : Pakar bedah mata, Dr Muhammad Hazim Sharum,37, dan guru agama Nur Faten Izzati Rablin,34, masing-masing dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) 1447H/2026M.

Dr Muhammad yang mewakili daerah Lahad Datu berjaya memperoleh jumlah markah terbanyak iaitu 95 peratus seterusnya menewaskan qari lain pada MTHQNS tahun ini.

Ketika ditemui, beliau menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai satu amanah untuk terus memperbaiki mutu bacaan meskipun berdepan jadual tugas padat sebagai pegawai perubatan pakar.  

“Bacaan Al-Quran perlu dibuat setiap hari. Saya biasanya menggunakan masa selepas solat atau ketika ada kelapangan untuk berlatih mengikut format pertandingan peringkat kebangsaan.

”Dari segi bilangan berapa kali buat itu tiada yang spesifik maknanya apabila ada masa terluang atau kesempatan saya akan buat latihan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Dr Muhammad yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor turut menekankan kepentingan bertalaqqi dengan guru Al-Quran bagi memperbetulkan bacaan secara terperinci.

“Tempoh latihan sendiri biasanya antara 15 minit hingga dua jam sehari, manakala sesi bertalaqqi boleh mengambil masa lebih lama kerana setiap kesalahan diperbetulkan satu persatu.

“Kadang-kadang masa suntuk, tetapi saya cuba mencari ruang untuk berlatih dan bertemu guru.

“Jika tidak dapat bersemuka, saya menghantar rakaman bacaan melalui WhatsApp untuk mendapatkan teguran dan tunjuk ajar,” katanya.

Beliau dan Nur Faten akan mewakili Sabah  ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kuala Terengganu. 

Menerusi kejayaannya, beliau membawa pulang pakej umrah sumbangan Sawit Kinabalu Sdn Bhd, tab Honor sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, jam tangan, buku agama, sepersalinan baju dan Al-Quran serta wang tunai RM10,000.

Kemenangan beliau bukan sahaja mengangkat nama peribadi bahkan mencerminkan profesionalisme golongan barisan hadapan yang turut menonjol dalam bidang rohani.

Sementara itu, Nur Faten ketika ditemui mengakui pencapaian itu merupakan yang kelima bagi mewakili Sabah ke peringkat Kebangsaan. 

Beliau yang juga guru agama di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkata, latihan bagi menghadapi tilawah itu lebih banyak dilakukan di dalam kereta selain masa yang terluang di sekolah.

“Saya mengajar di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah sekarang. Saya mengajar subjek Al-Quran. Jadi, di situ juga saya berkongsi dan saya pun belajar sambil berkongsi dengan anak-anak murid.

“Saya juga jurulatih untuk tilawah Al-Quran di sekolah saya. Jadi, itulah juga bila kita mengajar anak-anak ini, dalam masa yang sama saya pun berlatih juga.,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK perkenal RVM, mudahkan orang ramai lupus minyak masak terpakai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular